Wednesday, December 17, 2008

Unsur Khurafat dalam Drama TV

Mutakhir ini semakin banyak rancangan TV didominasi oleh drama-drama asing. Kalau dulu hanya filem-filem Hindustan, Inggeris dan kadang-kadang filem Arab yang ditayang bersempena dengan peristiwa-peristiwa tertentu menjadi santapan para penonton TV tempatan. Tetapi kini keadaan sudah berubah apabila filem dan drama dari negara jiran lebih mendapat sambutan. Setiap hari ada sahaja siri-siri rancangan sinetron terutamanya dari Indonesia ditayangkan untuk memenuhi permintaan penonton. Kebanjiran rancangan dari negara seberang ini bukan sahaja ditonton oleh rakyat negara berkenaan malah ia juga menarik minat ramai anak bangsa Melayu termasuk kanak-kanak dan orang dewasa.

Apa yang amat membimbangkan kita, drama-drama terutamanya yang dibawa dari negara Indonesia sentiasa menyelitkan unsur-unsur khurafat dalam kebanyakan jalan cerita yag ditayangkan. Kebanyakan anasir ini berselindung disebalik motif agama yang boleh menarik ramai penonton kerana penonton dewasa ini mula beralih arah kepada cerita yang bercirikan agama. Sebagai contoh, drama bersiri Bawang Putih Bawang Merah yang diolah daripada cerita Allahyarham Tan Sri P. Ramlee nyata menggunakan unsur kepercayaan kepada ‘Puteri Cahaya’ untuk berlindung daripada kezaliman manusia. Puteri cahaya ini akan datang secepat kilat tatkala pelakon yang dikatakan tertindas dalam drama ini memerlukan bantuan. Bukankah jalan cerita sebegini boleh memesongkan akidah seseorang Muslim? Kenapa kebergantungan kepada Allah s.w.t. tidak diletakkan sepenuhnya untuk memohon bantuan? Walaupun cerita-cerita sebegini berselindung disebalik keyakinan kepada Allah s.w.t tetapi ianya seolah-olah menduakan kuasa Pencipta. Tauhid Rububiyah telah diabaikan dalam perjalanan cerita yang disampaikan. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Hajj ayat 31: “..barangsiapa mempersekutukan sesuatu dengan Allah, maka adalah seolah-olah ia jatuh dari langit lalu disambar oleh burung atau diterbangkan oleh angin ke tempat yang jauh..” . Pada pengamatan saya, terdapat banyak lagi drama-drama dari negara seberang itu menggunakan anasir yang sama iaitu khurafat untuk menarik minat para penonton.

Tambahan pula, ianya amat menyedihkan apabila drama-drama sebegini mendapat tempat di kalangan anak-anak yang masih mentah soal pengertian akidah Islam. Dalam tempoh perkembangan otak mereka sedang pesat berlaku, pendekatan cerita yang sebegini akan menimbulkan ketempangan akidah dalam jiwa kanak-kanak apabila mereka mencapai umur dewasa kelak sekiranya konsep sebenar akidah tidak diterapkan dalam jiwa mereka. Mereka akan percaya bahawa ada kuasa lain akan membantu mereka sekiranya mereka berada dalam kesusahan. Lagipun, makhluk-makhluk berunsur khurafat yang muncul dalam jalan cerita berkenaan pula tidak menggambarkan keperibadian seorang muslim yang sebenar. Pelakon perempuan yang berperwatakan makhluk khurafat ini kebanyakannya mengenakan busana yang seksi dan menjolok mata. Saya tertanya-tanya apakah motif penampilan watak-watak sebegini? Kalau benar watak ini penghubung antara sang pencipta dangan hamba-Nya, walaupun perantara secara jelas menyebabkan kesyirikan, kenapa pakaian mereka tidak menggambarkan nilai seorang muslim sejati? Kalau orang lelaki pula, kenapa watak-watak sebegini sentiasa ditampilkan sebagai orang yang kolot dan tidak terdedah dengan dunia luar?

Bagaimanapun saya tetap menyokong drama-drama Indoesia yang bagus dan sesuai dengan dunia Islam sekarang seperti Soleha dan Mutiara Hati yang menerapkan nilai-nilai kesempurnaan Islam dalam penceritaannya. Drama-drama produk Malaysia pun belum berani sepenuhnya untuk tampil dengan genre sedemikian. Namun, dengan kehadiran drama-drama yang membawa anasir khurafat tadi, ia telah merosakkan persepsi masyarakat bahawa drama Indonesia baik untuk ditonton oleh orang Malaysia. Saya fikir, sudah cukup kelompangan masyarakat Indonesia yang ditonjolkan oleh para pendatang dari negara seberang itu. Pelbagai jenayah dan maksiat telah di bawa dari sana seperti penculikan, rogol, rompakan dan sebagainya di negara ini yang dikaitkan dengan pendatang dari Indonesia. Apabila ditambah lagi dengan kehadiran tetamu yang tidak diundang melalui corong pemancar TV itu, ianya akan mengeruhkan lagi keadaan masyarakat Malaysia yang kian merosot nilai agamanya kini.

MOHD HILMI YA’KUB

Mahasiswa Sains Kesihatan Bersekutu, UIAM

2 comments:

Anonymous said...

salam betul tu kebanyakkan dri drama-drama indonesia mnyelitkan unsur kurafat..cthnye dalam filem bawang putih dan bawng merah.. sy bukan la penggemar drama2 luar tp masyrakat kini bnyak dihidngkan dengn drama2 ni..nk tak nak kena tengok jga.. malah ia semacam satu trend tv di malaysia.. dhulu kita dhdgkan dgn filem hndustan se awal 90 an sehingga ia membuatkan satu budaya di Malaysia ketika itu dan masyarakt terikut2 budaya mereka... senang citwer industri perfileman negara perlu di tingkatkan lg produktiviti nya

Anonymous said...

kalau ptg2 xde crita lain. indon je..sakit ati jugk.

Photobucket

Search In The Quran

Search in the Quran
Search in the Quran:
in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code/td>
Powered by www.SearchTruth.com