Saturday, July 17, 2010

Pesanan buat rakan mahasiswa ku

Kebanjiran unsur-unsur hiburan yang melampau atau dikenali dengan istilah hedonisme di kalangan muda mudi hari ini cukup membimbangkan. Setiap saat ada sahaja artis-artis baru muncul dan tampil mengejar dunia populariti. Amat menyedihkan, unsur ini dipupuk dan dibentuk sejak usia kanak-kanak yang berselindung disebalik untuk melahirkan anak-anak yang ‘outstanding’ dan berpenampilan. Apa yang menakutkan kita, mereka ini kebanyakannya menjadi idola para remaja dan muda mudi kita yang semakin ketandusan identiti. Idola-idola yang dipuja umpama bintang kayangan ini ramainya mempunyai ilmu agama yang cetek. Bila mereka bercakap mengenai perihal agama, mereka umpama pelajar tadika yang tidak pernah belajar hukum hakam agama. Mereka menganggap dunia ini milik mereka tanpa mengira hak empunya sebenar dunia.

Apa yang menjadi kerisauan kita, para pemuja hiburan ini adalah dari kalangan muda mudi yang kebanyakannya golongan mahasiswa yang masih menuntut di universiti. Kalau kenyataan ini diragui, tengok sahaja aktiviti-aktiviti hiburan yang diadakan di negara kita, kebanyakannya dibanjiri oleh golongan pelajar universiti. Masakan tidak, sampaikan Gempur U yang dibuat secara berkala di dalam kampus seluruh Malaysia amat mendapat sambutan. Sampai hari ini program ini masih diteruskan. Jika diperhatikan, apa sahaja acara yang melibatkan pelajar universiti seperti Rancangan Bicara Siawa yang disiarkan secara mingguan di TV1 tidak terkecuali untuk menyelitkan unsur-unsur hiburan setiap kali bersiaran.

Dunia perfileman juga tidak pernah menanggung kerugian. Bila sahaja tayangan di pawagam bermula, berpusu-pusu hantu filem membanjiri pawagam. Bagi yang tidak berkemampuan, muat turun daripada internet menjadi pilihan. Seperti biasa, tiket-tiket yang dibeli oleh golongan muda mudi adalah penyumbang utama kepada keuntungan ini. Tidak terkecuali, mahasiswa pun turut terpalit menyumbang ‘saham’ untuk keuntungan poket pengusaha filem.

Ya, saya akui sebagai remaja kita perlu mendedahkan diri dengan dunia sebenar dan berfikiran out of the box, perlu mengikuti perkembangan dunia seni tanah air. Untuk berfikiran di luar lingkungan, saya tidak menafikan bahawa menonton filem, mengikuti perkembangan hiburan tanah air, memuja artis-artis boleh mendorong seseorang untuk berfikiran terbuka. Tetapi saya amat khuatir, dengan kelekaan para muda mudi yang majoritinya adalah golongan mahasiswa ini akan melupakan mereka akan perkembangan dunia sebenar yang betul-betul realiti umpanya situasi politik, kecelaruan pemikiran anak muda, masalah sosial dan sebagainya yang memerlukan khidmat dan percambahan minda daripada para mahasiswa.

Saya amat prihatin dengan mahasiswa kerana saya mempunyai kesedaran bahawa dunia ini amat ketadusan buah fikiran segar daripada golongan-golongan terpelajar. Kalau pun ada, fikiran-fikiran mereka telah diracuni oleh virus-virus hedonisme. Apa sahaja yang mereka lakukan, mesti merujuk kepada nafsu untuk keseronokan. Kalau ada unsur-unsur menyemai jiwa dan menyubur rohani, ianya diletak ke tepi kononnya mereka sudah arif atau ianya tidak sesuai dengan zaman. Kesedaran politik di kalangan mahasiswa umpamanya amat memalukan. Usah ditanya kepada mahasiswa apa yang mereka tahu mengenai kondisi politik negara. Apa yang penting, mereka dapat hidup dengan dunia mereka tersendiri. Saya amat terpanggil untuk mengatakan bahawa hal ehwal politik tidak ekslusif kepada sesiapa. Tidak kira mereka itu Perdana Menteri, penoreh getah, pelajar sekolah menengah mahupun pelajar universiti, isu-isu politik adalah hak semua. Seluruh lapisan masyarakat layak berbicara dan berbincang mengenai perkembangan politik tanah air. Mahasiswa perlu menyedari hakikat ini kerana mereka adalah cerminan dan produk berguna untuk masa depan negara. Mahasiswa cukup dihormati untuk bercakap mengenai negara. Setiap mutiara yang keluar daripada mulut mahasiswa akan didengari oleh pihak tertinggi kerana mahasiswa bisa mengubah lanskap politik negara. Kalau mahasiswa terlalu asyik dengan dunia hiburan, 3K (kuliah, katil, kafe,) dan dunia ‘game’, saya ragu-ragu dan tertanya-tanya apa yang akan berlaku 10 tahun akan datang kalau mahasiswa berjiwa begini memimpin negara.

Sudah cukup dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti yang merupakan angkara mahasiswa negara kita lesu. Sudah padan dengan siri-siri ‘ghazwatul fikri’ atau perang falsafah kebudayaan yang dibawa oleh orientalis meresap masuk ke dalam minda anak muda kita. Sudah jenuh mendengar graduan universiti tidak mampu bersaing. Ayuh rakan-rakan mahasiswa. Kita buang mimpi-mimpi puaka yang mengganggu jiwa. Kita bina minda perkasa yang mampu menjulang dunia. Tinggalkan duniamu yang tidak ada jaminan syurga. Kita mara dengan prinsip hidup yang menggegar dunia. Kita semai diri dengan bancuhan ilmu dan curahan iman di dada. Ingat kata-kata Rasulullah, “Bukan golonganku sesiapa yang tidak prihatin dengan perihal yang berlaku di sekitarnya”. Semat kata-kata Umar Al-Khattab: “Allah muliakan kita dengan Islam. Tanpa Islam kita akan dihina”. Bangkit duhai pemuda.

Oleh:

Mohd Hilmi bin Ya’kub

Dietetics year 4 UIAM

No comments:

Photobucket

Search In The Quran

Search in the Quran
Search in the Quran:
in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code/td>
Powered by www.SearchTruth.com