Thursday, May 21, 2009

Belajar dari Slumdog Millionaire





Keinginan yang membuak-buak untuk melihat sendiri aksi dua budak lelaki ‘cute’ dan seorang budak perempuan dalam filem ‘Slumdog Millionaire’ akhirnya berkesampaian apabila saya mendapatkan sendiri CD filem ini di pasaran. Pelakon kanak-kanak perempuan ini cukup kontroversi apabila ada khabar angin yang mengatakan bahawa ayah kandungnya ingin menjual anak perempuannya ini kepada seorang jutawan disebabkan marah kepada pengarah filem, Danny Boyle kerana bayaran upah lakonan tidak seperti yang dijanjikan. Tambahan pula, dengan kesempitan hidup keluarga ini sehingga memaksa ayahnya menjual anak sendiri. Sejauh mana kebenaran cerita ini, wallahua’lam.. Duit yang saya laburkan untuk mendapatkan sekeping CD filem ‘Slumdog Millionaire’ bagi saya tidak membazir kerana banyak plot keemasan yang dapat ditimba daripada filem yang mendapat 8 Oscar Awards ini. Jalan ceritanya bersahaja tanpa mengenakan kesan-kesan khas yang extreme bagi saya cukup menusuk kalbu. Walaupun watak perwatakan dan juga latar masa dan tempat telah ditentukan untuk menjadi jalan cerita, tetapi banyak pengajaran yang kita boleh geledah daripada fiksyen ini.

Antaranya, pengalaman masa lampau mampu menjadikan kita seorang jutawan. Istilah slumdog telah menggambarkan suasana kehidupan setinggan. Ditambah dengan berada dalam golongan minoriti penganut agama Islam di salah sebuah penempatan India yang selalu ditindas oleh golongan sang penguasa, boleh menyedarkan banyak mata-mata yang masih celik akalnya. Watak Jamal dan Malik, dua orang adik beradik yatim piatu yang kematian ibu setelah di bunuh oleh tentera penguasa, yang ingin menghapuskan minoriti Muslim India, telah membuka mata para penonton betapa kesempitan hidup masih bersarang di beberapa ceruk dunia.

Dua saudara ini hidup dalam keadaan yang serba kekurangan, terpaksa meredah longgokan sampah untuk mencari sesuap rezeki, dan pada satu tahap cuba diculik dan ingin dijadikan pengemis jalanan. Jamal, seorang budak yang cukup meminati lakonan Amitabh Bachan telah berpeluang untuk memasuki sebuah program reality ‘Who Wants to be A Millionaire’ yang pada niat asalnya ingin berjumpa dengan teman perempuan sepermainannya ketika kecil dahulu akhirnya berjaya menjadi seorang jutawan. Segala soalan yang dilontarkan kepadanya adalah berkisar kepada pengalaman pahit jerih sepanjang hidupnya. Jamal tidak pernah bersekolah tinggi dan tidak pula pegang sarjana. Tetapi pengalaman hidupnya telah memberikannya kejayaan yang tidak pernah terlintas di fikiran.

“The best way to predict the future is to invest into it!”

Inilah antara pepatah Inggeris yang bersesuaian untuk jalan cerita dalam filem ini. Filem ‘Slumdog Millionaire’ ini cukup bermakna kepada para mahasiswa untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman sepanjang berada di alam kampus. Semasa berada di universiti, mahasiswa harus memanfaatkan peluang untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman dan mencabar kemampuan diri untuk kepentingan hari ini dan masa depan.

Waktu di universiti merupakan periodisasi emas untuk memperkayakan diri dengan pelbagai jenis pengalaman sedalam yang mungkin. Universiti adalah gelanggang untuk mahasiswa berpentas. Jatuh bangun kita ber’pencak silat’ di sini memberikan imunisasi yang berguna untuk masa depan. Waktu di universiti inilah saat untuk mahasiswa di ‘grooming’, di dandan, di bentuk, di latih dan di canai untuk memperkukuhkan idealisme dan aktivisme kemahasiswaan, ke arah melahirkan warganegara yang mampu menyumbang ke arah pembinaan negara yang lebih baik pada masa hadapan.

Bukankah mahasiswa itu pewaris teraju kepimpinan negara dan dunia? Slumdog Millionaire telah berjaya mengukir sejarah tersendiri di dunia. Ayuh kita buka lembaran baru sejarah mahasiswa pula!

1 comment:

As said...

good review..thanks!

Photobucket

Search In The Quran

Search in the Quran
Search in the Quran:
in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code/td>
Powered by www.SearchTruth.com