Monday, June 2, 2008

Rancangan televisyen hilang identiti

Saya menyambut baik usul yang dicadangkan oleh ahli Dewan Negara, YB Senator Mumtaz Md Nawi di dewan rakyat baru-baru ini kepada Kementerian Penerangan untuk menyusun semula jadual rancangan di televisyen khususnya yang bernaung di ‘bawah ketiak’ kerajaan, TV1 dan TV2. Antara isi usulnya ialah supaya meletakkan program yang bermanfaat kepada masyarakat pada waktu puncak iaitu waktu yang paling ramai penonton seperti waktu petang antara pukul 2 hingga 5 petang dan waktu malam. Rancangan-rancangan tazkirah seperti Bicara Mufti, Motivasi Pagi, Muqaddimah dan sebagainya yang disiarkan pada awal pagi amat tidak sesuai memandangkan nisbah penonton pada waktu ini menjanjikan bilangan penonton yang amat sedikit.
Dari satu sudut, cadangan ini sudah cukup baik. Sekurang-kurangnya masih ada lagi program-program five star untuk mendaulatkan Islam ‘Hadhari’ di Malaysia. Namun, dari sudut lain bagaimana dengan rancangan pada waktu puncak yang pastinya menarik ramai penonton. Telenovela yang diimport secara terus dari Latin, Korea, Filipina, Mexico dan sebagainya memaparkan budaya bebas dengan para pelakon yang berpakaian tidak senonoh, gaya hidup yang mewah telah meracuni pemikiran anak muda untuk meniru gaya-gaya mereka. Apabila ini berlaku, elemen agama semestinya dikesampingkan, yang penting matlamat hidup mewah dan bergaya direalisasikan.
Persoalannya, ke mana perginya fungsi badan penapisan filem dan bahan penyiaran Malaysia. Duhai kerajaan Malaysia, tidak cukup lagikah dengan rancangan-rancangan hedonis ciptaan rakyat Malaysia sendiri yang tidak sensitif dengan hukum-hakam agama? Akademi Fantasia, GangStarz, Cari Bintang dan sebagainya tidak cukup mata untuk dilihat. Tidak padan untuk rakyat Malaysia, ditawarkan pula kepada warga-warga Asia lain untuk terpaut sama dengan dosa yang diciptakan sendiri oleh negara hadhari. Rakyat Indonesia, Thailand, Filipina, Singapura cukup galak mempersembahkan tubuh dan nikmat Tuhan kepada mereka untuk memenangi pertandingan. Semua ini diperhatikan generasi muda terutama anak-anak gadis yang mengimpikan kehidupan kerlipan bintang bertamu dalam hidup mereka. Kerajaan hadhari pula menabur duit berjuta-juta ringgit untuk kesenangan para peserta asing kononnya boleh tarik pelancong dan sebagainya. Alangkan ceteknya pemikiran agama mereka.
Akibat itu lahirlah mangsa-mangsa seperti Norfaizura Azura Mad Lias, 28, dari Pangkor, Perak dan Dayang Sakienah Mat Lazim, 20, dari Bukit Payung, Terengganu yang kini merengkok di penjara Negara-negara Eropah gara-gara mengedar dadah selepas direkrut bekerja dengan tawaran gaji lumayan di Sepanyol. Kita cukup sedih dengan bencana yang menimpa umat Islam-Melayu. Faktor utamanya disebabkan oleh rancangan TV di negara kita sudah hilang identiti sehingga umat remaja Islam-Melayu menjadi layu selayunya.
Bagi pihak berkuasa seperti Kementerian Penerangan, tidakkah berasa bersalah kerana selama ini terbabit meracuni minda anak-anak muda dengan rancangan televisyen yang merosakkan itu? Kepada kementerian Pelajaran dan Pendidkan Tinggi, apa sebenarnya telah berlaku sehingga anak-anak muda menjadi sedemikian rupa? Kita menyambut baik usaha pemuda PAS mendesak Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Penerangan memantau dan mengetatkan penerbitan filem dan penyiaran telenovela yang bukan sahaja menyalahi hokum Islam dan budaya ketimuran tetapi memporak-perandakan masyarakat.

No comments:

Photobucket

Search In The Quran

Search in the Quran
Search in the Quran:
in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code/td>
Powered by www.SearchTruth.com