Thursday, October 1, 2009

Tajdid Pendidikan Perlu Sejak Awal Usia

Pendidikan adalah satu elemen yang cukup penting dalam pembinaan sesuatu tamadun manusia. Bermula sejak dari lahir sampai menemui ajal, manusia sememangnya sentiasa digalakkan untuk mendapatkan sumber pendidkan samada secara formal mahupun secara tidak formal. Rasulullah s.a.w. tidak pernah mengabaikan perihal pendidikan melalui beberapa hadis baginda, antaranya, yang bermaksud, “Tuntutlah ilmu daripada buaian sehingga ke liang lahad”. Namun, kita perlu menyedari bahawa dengan ilmu sahaja tanpa ada penghayatan dan penerapan nilai-nilai dan akhlak murni terhadap ilmu itu, ianya ibarat tanah kontang yang tidak subur. Analisis fakta daripada perspektif sejarah telah cukup membuktikan bahawa kehancuran tamadun manusia contohnya Mesir, Greek, Rom dan Parsi adalah berpunca daripada gagalnya penerapan nilai-nilai murni kepada generasi pewaris dan kontangnya penghayatan untuk diaplikasikan dalam kehidupan.



Pendidikan yang sempurna perlu bermula seawal umur kanak-kanak lagi. Hakikat yang perlu kita ketahui daripada fakta yang dikemukakan oleh pakar perkembangan dan psikologi kanak-kanak, diusia umur 6 tahun pertama inilah peringkat yang paling optimum dan paling laju perkembangan mereka berbanding dengan peringkat-peringat atau tahap umur yang lebih dewasa dalam kehidupan seorang insan. Pakar perkembangan dan psikologi kanak-kanak berpendapat bahawa lebih separuh daripada perkembangan intelektual kanak-kanak berlaku dari usia 0 hingga empat tahun manakala satu pertiga yang lain lengkap sempurna perkembangannya apabila mencapai umur 8 tahun. Terbaru, hasil kajian yang dilakukan oleh pakar neurologi mendapati bahawa 85% perkembangan otak manusia berlaku dalam tempoh enam tahun pertama usia seorang kanak-kanak dan peringkat perkembangan yang paling pesat ialah diperingkat umur yang terawal dalam tempoh enam tahun tersebut. Justeru, boleh dikatakan di sini bawa ketinggian kualiti pendedahan dan pendidikan awal seorang kanak-kanak merupakan asas kepada keseluruhan perkembangannya yang akan datang.



Pernyataan daripada hasil-hasil kajian ilmiah samada di timur, di barat malah seanterio dunia membuktikan bahawa pendidikan awal kanak-kanak adalah asas kepada pembinaan dan pengukuhan sesuatu bangsa. Kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat misalnya menunjukkan bahawa setiap nilaian dolar yang dilaburkan untuk pendidikan awal yang berkualiti tinggi dapat memberikan pulangan yang tinggi samada dari segi perkembangan ekonomi mahupun perkembangan sosial kehidupan masyarakat di negara tersebut.



Manakala di Jepun, sebuah negara yang suatu ketika dahulu pernah lumpuh akibat ledakan bom atom, dalam jangkamasa yang tidak sampai setengah abad ia mampu bangun menjadi tunggak ekonomi dunia. Satu kajian yang dilakukan oleh seorang penyelidik Barat mendapati bahawa pembinaan pemikiran masyarakat Jepun bukanlah disebabkan oleh laungan suara kebangkitan atau paluan gendang lagu kebangsaan yang membakar semangat,. Tidak juga tumpuan kepada pencapaian akademik mengorientasikan pemikiran rakyat. Akan tetapi ianya berpunca daripada keprihatinan dan kepekaan pemimpin dan rakyat negara itu terhadap pembentukan generasi awal. Masyarakat Jepun telah menyediakan generasi mereka dengan daya ketahanan menghadapi cabaran daripada aspek fizikal dan mental, dan mereka juga bertungkus lumus menumpukan perhatian membina daya keintelektualan dan menggarap potensi semulajadi setiap individu kanak-kanak sejak dari peringkat awal perkembangan.



Persoalan yang ingin ditimbulkan disini ialah adakah sistem pendidikan yang diguna pakai di negara kita bersesuaian dengan kehendak semasa? Adakah anak kecil yang berusia seawal 4 tahun sudah didedahkan dengan silibus untuk menanamkan akhlak seorang muslim yang beriman dalam diri mereka? Ada bukti yang menunjukkan, masih timbul persoalan dan keraguan di sudut hati para penyelidik yang membuat kajian, pemerhatian, peka dan prihatin kepada perkembangan kanak-kanak Islam hari ini. Sebahagiannya masih mencetuskan, kenapa tahap pemikiran kanak-kanak Islam secara umumnya tidak maju? Kenapa keterampilan, pemikiran, kewibaan, serta daya intelek kanak-kanak Islam sentiasa sinonim dengan istilah ketinggalan di belakang jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang berbangsa lain? Malah jauh bezanya jika disama ratakan dengan kanak-kanak barat yang tidak pernah diperkenalkan apa itu Islam kepada mereka. Mengapa pula kalau ada anak-anak yang disemai dengan benih-benih keimanan masih terjebak dengan gejala sosial yang memualkan bila menjejaki umur remaja? Mungkinkan terdapat sesuatu yang tidak kena dengan kurikulum pendidikan Islam atau hanya aplikasinya yang perlu dipertimbangkan semula? Adakah mungkin kerana ini yang dikatakan kita memerlukan satu tajdid pendidikan?

Justeru, menjadi sesuatu yang amat wajar untuk kita meneliti kembali kurikulum pendidikan anak-anak di peringkat awal usia ini jika generasi yang mahu kita lahirkan adalah generasi yang berdaya saing, berketerampilan, mempunyai daya intelektual yang tinggi, dan yang amat penting ialah seorang insan yang ampuh dan utuh imannya. Kita boleh berbangga dengan kegemilangan khilafah Islam lampau yang mampu menundukkan dunia kepada sistem ajaran Islam. Kita juga boleh berbicara tentang kenangan silam apabila Islam pernah menaungi dua pertiga dunia. Namun, kita hanya mampu bernostalgia dengan segala memori itu jika sistem pendidikan hanya menjadi ‘penyeri anak tangga’ untuk menunjukkan kita telah tunaikan tanggungjawab. Sedangkan amanah yang kita pikul lebih besar daripada itu. Sudah lama kita berdosa kepada anak-anak kecil apabila keperluan mereka tidak dipenuhi dengan pendidikan yang sempurna. Akhirnya melahirkan generasi yang buta agama, kasar budi pekerti, keras hati dan hilang jati diri.

MOHD HILMI BIN YA’KUB,

EXCO MAJLIS PERSATUAN PELAJAR,

UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA

hilmi_src@yahoo.com

No comments:

Photobucket

Search In The Quran

Search in the Quran
Search in the Quran:
in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code/td>
Powered by www.SearchTruth.com