Saturday, September 13, 2008

Diri Sendiri Sebagai Jambatan Empati





“己所不欲,勿施于人”
Dua kali Confucius (551 - 479 SM) menyebutnya di dalam kitab Lun Yu (论语). Di bab yang ke-12 dan bab ke-14. Apakah maksud ayat tersebut sehingga dikatakan ianya sebuah Golden Rule? Nasihatnya mudah, “Sesuatu yang tidak kita kehendaki, jangan dilakukan kepada orang lain”.


Ya, bunyinya mudah. Sekiranya kita tidak suka sesuatu itu dilakukan kepada kita , maka janganlah lakukan perkara tersebut kepada orang lain. Selagi manusia masih punya rasa menghargai diri sendiri, nasihat tersebut tidak mustahil untuk diikuti. Namun kadangkala kita terlalai daripada mengamalkan prinsip ini. Samada sememangnya terlupa, atau deria untuk empati sudah lama lupus daripada diri. ‘Kita’ di atas termasuklah diri saya sendiri yang masih dalam usaha memperbaiki diri. Tetapi saya bersykur kerana kadangkala saya terlupa, dan bukannya hilang deria rasa untuk cuba merasai perasaan insan lain.
Rasulullah SAW sendiri pernah mendidik seorang pemuda dengan kaedah refleksi diri seperti yang disebutkan Confucius itu. Dalam rangka menyedarkannya tentang perbuatan jijik yang ingin pemuda itu lakukan.


Pernah suatu hari datang seorang pemuda berjumpa dengan Rasulullah SAW dan meminta keizinan baginda untuk berzina. Di kalangan sahabat baginda ada yang memarahi pemuda tersebut. Rasulullah SAW tidak lantas memarahinya sebaliknya mendekatinya.

“Apakah kamu suka jika zina itu dilakukan orang lain terhadap ibumu?” soal baginda kepada pemuda tersebut.

“Sekali-kali tidak, demi Allah yang yang menjadikanku sebagai tebusan anda,” jawabnya. “Begitu juga kebanyakkan manusia. Mereka tidak ingin zina itu dilakukan terhadap ibu mereka,” ujar Rasulullah SAW.

“Apakah kamu suka jika zina itu dilakukan terhadap anak-anak perempuanmu?” tanya Rasulullah SAW lagi.

“Sekali-kali tidak, demi Allah yang yang menjadikanku sebagai tebusan anda,”

“Begitu juga kebanyakkan manusia. Mereka tidak ingin zina itu dilakukan ke atas anak-anak perempuan mereka. Apakah kamu suka jika zina itu dilakukan terhadap kakak-kakak atau adik-adik perempuan kamu?” soal Rasulullah SAW kepada pemuda itu lebih lanjut.

“Tidak wahai Rasulullah, demi Allah yang yang menjadikanku sebagai tebusan anda,”

“Begitu juga kebanyakkan manusia. Mereka tidak ingin zina itu terjadi ke atas kakak-kakak atau adik-adik perempuan mereka,” ujar Rasulullah SAW. Baginda bertanya lagi.

“Apakah kamu suka jika zina itu dilakukan terhadap ibu-ibu saudaramu?”

“Tidak, demi Allah yang yang menjadikanku sebagai tebusan anda,” jawabnya lagi.

“Begitulah juga orang lain. Mereka tidak ingin zina itu dilakukan terhadap ibu-ibu saudara mereka,” balas Rasulullah SAW.

Lalu Nabi SAW meletakkan tangan baginda ke atas dada pemuda itu dan mendoakannya: "Ya Allah, bersihkanlah hatinya, dan peliharalah kemaluannya serta ampunilah dosa pemuda ini" [Kisah ini diriwayatkan Imam Ahmad di dalam musnadnya no: 22265]
DIRI SENDIRI SEBAGAI PAKSI AWAL UNTUK EMPATI
Bukan sekadar di dalam hadis yang saya sebutkan di atas. Tidak keterlaluan saya katakan Rasulullah SAW turut pernah mendidik kita dengan kaedah yang sama. Cuma ianya hanya akan terkesan bagi mereka yang berfikir. Pernah Rasulullah SAW bersabda:


ومن ستر مسلما، ستره الله في الدنيا والآخرة
Siapa saja yag menutupi (aib) seorang Muslim, maka Allah akan menutupi (aib) nya di dunia dan akhirat. [Sahih Muslim - hadis no: 2699]


Rasulullah SAW memberi peringatan bahawa Allah SWT akan menutupi aib peribadi sesiapa yang menutupi aib peribadi saudara Muslimnya yang lain. Boleh juga difahami bahawa Allah SWT akan membuka aib sesiapa yang suka mendedahkan aib saudaranya yang lain.
Peringatan Rasulullah SAW ini seharusnya membuatkan kita berfikir dan bertanya. Apakah kita bersedia ditelanjangkan aib-aib kita di khalayak manusia? Bagaimanakah perasaan kita apabila suatu hari kita terlihat, aib peribadi kita yang mungkin sedang kita perbaiki terdedah di khalayak ramai. Apakah kita suka? Jiwa yang normal pasti tidak menyukai perkara itu terjadi pada dirinya.


Jadi sekiranya diselami pengajaran hadis di atas, dalam bentuk lain ianya boleh difahamkan sebagai, “Sekiranya kita sendiri tidak suka aib peribadi kita dibuka buat pengetahuan umum, maka janganlah kita bersungguh-sungguh mendedahkan aib peribadi orang lain!”
Kegagalan menyelami prinsip tersebut dalam sesetengah sabda Nabi SAW mengeheret kepada gagal menghayatinya dalam bentuk akhlak. Apabila gagal menghayatinya sebagai akhlak maka lazimnya jauh sekali ia dapat merasa relevennya ia menjadi hukum.
Sejauh mana kita sering memikirkan perkara ini sebelum bertindak? Sudahkah kita berusaha memastikan apa yang kita tidak suka dilakukan ke atas diri, tidak dilakukan ke atas orang lain? Hukum emas tersebut memerlukan kita meletakkan diri sendiri sebagai jambatan untuk memahami perasaan orang lain. Hanya sikap pentingkan diri sendiri yang negatif sahaja mampu merobohkan jambatan itu.

From : demipena.blogspot.com

No comments:

Photobucket

Search In The Quran

Search in the Quran
Search in the Quran:
in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code/td>
Powered by www.SearchTruth.com